KUALA LUMPUR – Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalid Ismail mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Negara baharu ke-15.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan kontraknya pada 22 Jun ini.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kekal disandang Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Majlis serah terima tugas dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd. Khalid yang disempurnakan oleh Saifuddin Nasution.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Razarudin dan Mohd. Khalid serta penyerahan tongkat kuasa.
Pelantikan Mohd. Khalid adalah bagi menggantikan Razarudin yang bersara susulan penamatan kontraknya selama dua tahun.
Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. – KOSMO! ONLINE