PETALING JAYA – Hari ini kecoh mengenai perkataan ‘cendol’ akibat teguran daripada seorang wanita yang didakwa sebagai pakar pemakanan apabila meluahkan kebimbangan mengenai kebiasaan orang lelaki di Malaysia menikmati juadah terkenal itu selepas solat Jumaat.
Menerusi satu klip video, wanita tersebut dengan percakapan bercampur Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu ternyata terkejut dengan budaya orang lelaki di negara ini yang sanggup beratur demi menikmati cendol selepas solat Jumaat setiap minggu.
“Saya terkejut, mereka boleh beratur selepas solat Jumaat, panjang semata-mata beli cendol. Manis tu bahaya walaupun seminggu sekali,” jelas wanita tersebut.
Bagaimanapun, ramai golongan lelaki yang memerli teguran wanita itu dan mempersoalkan adakah salah lelaki beratur untuk membeli cendol.
“Biasa yang beratur ni kadang bukan dia beli untuk dia sendiri, ada wanita di belakangnya yang mengirim sendol, tapai, pisang goreng dan macam-macam lagi.
“Dah tak selamat dah jadi lelaki, semua diperhatikan,” kata Farihan M&M.
“Beli cendol pun salah, duit sendiri kakak. Marah yang beratur beli nombor tu ya, takut laki kakak pun ada sekali,” kata Nor Hiesham. – KOSMO! ONLINE