SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan untuk membatalkan lesen penunggang motosikal yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 sekiranya didapati melanggar undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kerajaan telah mengeluarkan sejumlah peruntukan besar bagi memudahkan golongan B40 untuk memperoleh lesen memandu Kelas B2 dan penerima perlulah mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
Katanya, beliau telah meminta Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu untuk meneliti isu terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kita rekodkan senarai calon telah berjaya memperoleh lesen menerusi MyLesen B2 dalam sistem berasingan, maknanya mereka semua ini lulus menerusi peruntukan yang dikeluarkan kerajaan. Kita mengharapkan penunggang terutamanya anak-anak muda patuh akan peraturan jalan raya, namun kita akan mengambil tindakan sewajarnya kepada penerima bersubsidi ini sekiranya mereka melanggar peraturan.
“Kita sedang meneliti perkara ini dan kami tidak akan beri muka kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jalan raya terutamanya anak-anak muda yang merempit (mat rempit),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE