SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) ke atas 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB), bermula Isnin ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, syarikat itu dikenal pasti melalui senarai yang diperoleh daripada JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan kesemuanya mempunyai saman tertunggak masih belum diselesaikan.
Katanya, operasi itu memberi penekanan kepada penilaian pematuhan terhadap aspek pengurusan pemandu, penyelenggaraan kenderaan, tahap keselamatan dan rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan berkaitan.
“Selain itu, audit keselamatan akan melihat pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP), termasuk semakan ke atas pelan teknikal kenderaan serta proses penyelesaian saman oleh pemilik dan pemandu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau menegaskan audit yang dilaksanakan itu adalah respons kepada kes nahas tragis mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu dan kemalangan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.
Tambah beliau, statistik menunjukkan terdapat 300 buah lori, 100 buah bas persiaran dan 100 buah bas ekspres berada dalam kategori berisiko tinggi yang akan diberi keutamaan dalam audit kali ini. – KOSMO! ONLINE