IPOH – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Salmiah Nyak Matt, 84, yang juga ibu mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin ditemukan di bilik tingkat bawah rumah berkenaan.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Sayani, mangsa, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang bilik tingkat bawah rumah oleh pasukan penyelamat.
Katanya, suami mangsa, Abdul Ghani Ngah, 83, yang berada di bilik tingkat atas rumah tersebut berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba namun dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.
“Anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.19 malam dengan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat kelas A di mana sebuah bilik di tingkat bawah rumah terbakar 80 peratus. Pemeriksaan di bilik tersebut menemukan seorang wanita dan mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Sayani, empat mangsa lain berusia 18 hingga 49 yang turut berada di rumah ketika kejadian berlaku tidak mengalami sebarang kecederaan.-KOSMO! ONLINE