SEREMBAN – Seorang guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak muridnya pada Isnin lalu.
Tertuduh, Anor Suleman, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika kejadian dengan memasukkan tangan ke dalam baju dan menyentuh bahagian belakang badan, leher serta bahu kanak-kanak tersebut.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 8 malam di bilik bahagian bawah sebuah rumah di Forest Heights di sini pada 16 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi telah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dikenakan. – KOSMO! ONLINE