IPOH – Polis sedang menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan kes seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik sahaja laporan tersebut diperoleh.
Katanya, setakat ini, rakaman percakapan guru terbabit telah diambil dan telefon bimbitnya turut dirampas untuk siasatan.
“Siasatan kes ini hampir selesai dan kita hanya menunggu laporan perubatan dari Hospital Seri Manjung sebelum kertas siasatan itu dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“(Laporan perubatan) itu kemungkinan besar melibatkan aspek psikiatri atau lebih kepada keadaan emosi dan tingkah laku, sebab itu dia bertindak seperti yang dilakukan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE