SEREMBAN – Seorang pempengaruh yang didakwa menceroboh rumah pelakon Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul atau lebih dikenali sebagai Anju pada 7 Mei lalu menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Nurul Nur Ariani Muhammad Zahari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Wanita itu didakwa menceroboh dengan memasuki rumah selebriti itu di Kampung Chelet, Nilai dekat sini pada pukul 5 petang, 7 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Anif Rafih didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Suprintendan L Rathna memohon tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Mahkamah menetapkan 22 Julai ini bagi serahan dokumen.
Pada 19 Mei lalu, wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen Seremban.
Sementara itu, seorang lagi peguam tertuduh, Amer Haiqal Mohd Yusof ketika ditemui memberitahu, pada pertuduhan terdahulu, anak guamnya tidak mendapat nasihat yang betul kerana dipercayai belum melantik peguam. – KOSMO! ONLINE