JAKARTA – Seorang muazin di Sukoharjo, wilayah Jawa Tengah meninggal dunia ketika sedang melaungkan azan pada waktu dinihari, lapor laman berita Detik semalam.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di laman Instagram menunjukkan lelaki tersebut tiba-tiba rebah ketika melaungkan azan.
“Seorang muazin meninggal dunia ketika sedang melaungkan azan di Masjid Mujahidin Manang pada 17 Jun 2025,” kata keterangan video tersebut.
Imam masjid berkenaan, Rusdi Sholeh kemudian mengesahkan perkara tersebut serta memberitahu bahawa muazin berkenaan bernama Setu Rusdiyanto alias Daim.
“Pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan), arwah pergi ke masjid dan melaungkan azan untuk solat selepas waktu tengah malam,” katanya.
Tambah Rusdi, dia ketika itu mendengar azan berkumandang, namun ia tiba-tiba terhenti.
Dia yang merasa curiga dengan segera memeriksa CCTV masjid yang disambung terus ke telefon bimbit miliknya dan terkejut melihat Setu rebah.
Rusdi berkata, dia dengan segera memanggil beberapa penduduk untuk memeriksa keadaan lelaki tersebut.
Mereka kemudian membawa Setu ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia kerana sakit yang tidak dinyatakan. – AGENSI