fbpx

Lori batu, pasir punca jalan jadi ‘kawah bulan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Struktur jalan yang rosak akibat dilalui kenderaan berat di Kampung Bertam Lama, Gua Musang. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Keadaan struktur jalan yang berlubang, retak, dan tidak rata di laluan Kampung Jerek ke Bertam Lama di sini, sudah seperti perangkap maut apabila banyak menyebabkan kes kemalangan kepada penunggang motosikal dan kerosakan ken­deraan.

Keadaan itu mengakibatkan hampir 5,000 penduduk termasuk pengguna jalan raya di Kampung Jerek, Bertam Lama, Kampung Jelekang di sini dan Kampung Ingin Maju, Dabong di Kuala Krai terpaksa bergadai nyawa apabila menggunakan jalan rosak.

Lebih mencemaskan apabila berselisih dengan kenderaan berat yang membawa muatan batu dan pasir sejak setahun lalu.

Seorang penduduk Kampung Ingin Maju, Dabong, Mohd. Farrez Haqimee Mohamad Asri, 30, berkata, penduduk di beberapa buah kampung bimbang terutamanya apabila berselisih dengan kenderaan berat yang keluar masuk tanpa mengira waktu.

Katanya, lebih 100 perjalanan lori menggunakan laluan terbabit setiap hari untuk menghantar batu dan bahan binaan untuk dua projek aktif yang terletak di kawasan Dabong, Kuala Krai.

“Kerosakan jalan itu amat te­ruk apabila ia melibatkan laluan sepanjang hampir 30 kilometer dari Kampung Jerek ke Kampung Ingin Maju.

“Jalan yang dahulunya dua lorong kini menjadi satu lorong kerana struktur pecah, berlubang dan tidak rata. Kende­raan pengguna sering berselisih sekali gus mengancam nyawa pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bertam Lama di sini kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Rizwadi Ismail, 42, berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak penguat kuasa untuk mengawal kenderaan berat yang membawa lebih muatan sehingga menyebabkan berlaku kerosakan jalan yang teruk.

Beliau yang juga Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berkata, aktiviti me­ngangkut bahan binaan itu turut dilakukan pada hari cuti umum iaitu Jumaat dan Sabtu.

“Banyak kemalangan pernah berlaku melibatkan pelajar sekolah dan pengguna jalan raya. Orang luar yang melalui jalan ini juga pernah terlibat dalam kemalangan sehingga kenderaan pecah tayar dan enjin.

“Saya harap pihak berwajib seperti Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan Jabatan Pengangkutan Jalan memantau perkara itu kerana pihak terbabit seolah-olah tidak takut undang-undang menggunakan jalan kampung dengan membawa muatan berlebihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI