SEREMBAN – Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM47.74 juta sejak Januari hingga kini, berbanding RM33.84 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peningkatan saban tahun jenayah itu memerlukan tindakan segera pihak berwajib, khususnya polis dan agensi berkaitan.
“Penipuan dalam talian mencatat 82 peratus daripada keseluruhan kes jenayah komersial.
“Antara kes paling banyak termasuk penipuan telekomunikasi sebanyak 480 kes, penipuan pembelian dalam talian (248), pelaburan tidak wujud (208), pinjaman tidak wujud (151) dan love scam atau parcel scam (22),” katanya selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 di sini, hari ini.
Katanya, kes penipuan kini juga semakin berleluasa sehingga melibatkan aspek kehidupan seperti kesihatan dan ibadah haji. – KOSMO! ONLINE