fbpx

Kerajaan seluruh dunia bergegas pindah rakyat dari Iran, Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKYAT asing khususnya warga Eropah tiba di sebuah lokasi pertemuan di Tel Aviv sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing kelmarin. – AFP

HONG KONG – Kerajaan seluruh dunia bertungkus lumus memindahkan beribu-ribu rakyat  masing-masing yang terperangkap dalam konflik Israel-Iran dengan mengatur perjalanan bas dan pesawat,  manakala sebilangan kes, membantu orang ramai melintasi sempadan dengan berjalan kaki.

Warga asing bergegas meninggalkan Iran dan Israel selepas Tel Aviv melancarkan kempen pengeboman yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Jumaat lalu, menyasarkan kemudahan nuklear dan tentera Iran sekali gus  mencetuskan serangan balas Tehran.

Dengan ruang udara Israel ditutup dan kedua-dua pihak bertukar tembakan peluru berpandu, ramai warga asing dipindahkan melalui negara-negara jiran.

– Eropah –

Negara-negara Eropah telah menghantar pulang ratusan warganegara mereka dari Israel.

Republik Czech dan Slovakia pada Selasa lalu berkata,  mereka telah membawa pulang 181 orang dengan menaiki pesawat kerajaan.

“Tidak mungkin untuk menghantar pesawat tentera terus ke Israel,” kata kementerian pertahanan Czech dalam satu kenyataan, memetik penutupan ruang udara.

“Semua  penumpang dibawa ke lapangan terbang di negara jiran dengan bas. Mereka melintasi sempadan dengan berjalan kaki.”

Kerajaan Jerman berkata,  penerbangan dijadualkan semalam dan hari ini melalui Jordan, manakala Poland memberitahu, kumpulan warganegara pertamanya tiba semalam.

Greece menghantar pulang 105 rakyatnya serta beberapa warga asing lain melalui Mesir, manakala sebuah pesawat persendirian membawa 148 orang mendarat di ibu negara Bulgaria, Sophia kelmarin.

– Amerika Syarikat –

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Israel mengumumkan rancangan untuk memindahkan rakyat Amerika melalui laluan udara dan jalan laut semalam.

Kedutaan ‘sedang menghantar pesawat dan  kapal pesiaran’ untuk  rakyat AS yang mahu  meninggalkan Israel, kata Duta Besar Mike Huckabee di media sosial.

– China –

China telah memindahkan lebih daripada 1,600 warganegara dari Iran dan beberapa ratus lagi dari Israel.

Kementerian luar China hari ini berkata, kedutaan dan konsulatnya akan terus berusaha sedaya upaya untuk membantu dalam memindahkan rakyat China dengan selamat.

– Australia –

Australia mula memindahkan kira-kira 1,500 warganegara dari Iran dan lebih 1,200 lagi dari Israel   tetapi serangan peluru berpandu menjadikannya terlalu berisiko untuk pesawat awam mendarat di kedua-dua negara, kata Menteri Luar, Penny Wong.

“Tidak ada kapasiti untuk orang ramai mendapatkan pesawat awam, ia terlalu berisiko, dan ruang udara ditutup,” kata Wong kepada penyiar kebangsaan ABC.

“Kami mengambil peluang untuk membawa keluar sekumpulan kecil rakyat Australia dari Israel melalui lintasan sempadan darat.

“Kami berusaha untuk melakukan lebih banyak lagi dalam tempoh 24 jam akan datang,” tambahnya.

– Pakistan –

Pakistan menutup lintasan sempadannya dengan Iran, kecuali untuk rakyat Pakistan yang ingin pulang.

Kira-kira 1,000 rakyat Pakistan melarikan diri setakat ini, termasuk sekurang-kurangnya 200 pelajar.

Kementerian luar Pakistan  berkata,  keluarga diplomat dan beberapa kakitangan bukan penting dari Iran telah dipindahkan.

– India –

Kira-kira 110 pelajar yang melarikan diri dari Iran melalui sempadan darat dengan Armenia telah mendarat di New Delhi,  kata seorang  jurucakap kementerian luar negeri hari ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI