KLANG – Seorang jurulatih memanah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan pertubuhan luar tabii terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Faizul Md. Taib bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mohd. Faizul didakwa masing-masing melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Justeru, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa melakukan pertubuhan luar tabii terhadap mangsa sama dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun hingga 20 tahun dan sebat.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah tandas sekitar daerah ini, kira-kira pukul 4.20 petang pada 10 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi mencadangkan jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi secara sendiri atau melalui wakil.
Tertuduh diwakili Peguam Daneish Thayalan dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan jurulatih memanah dengan pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 dan menanggung seorang anak dan isteri.
“Tertuduh juga menanggung perubatan bapanya yang mempunyai kencing manis dan darah tinggi.
“Anak guam saya tiada masalah melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan memohon jaminan dikurangkan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 19 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE