GUA MUSANG – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengingatkan kepada masyarakat di negeri ini agar tidak keliru antara simptom penyakit kusta dan panau sekiranya berlaku keputihan pada permukaan kulit.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kusta kebiasaannya tidak mempunyai simptom yang spesifik sekali gus tidak dapat membezakan dengan penyakit panau.
“Kedua-dua penyakit kulit itu mempunyai simptom keputihan, namun pesakit kusta hilang deria rasa pada kawasan terbabit kerana disebabkan gangguan pada saraf.
“Jika tidak dikesan pada peringkat awal, penyakit tersebut akan memberi komplikasi kecacatan fizikal yang kekal dan secara langsung mengurangkan kualiti hidup pesakit dan ahli keluarga,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kusta Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, penyakit kusta tidak menular secara meluas seperti penyakit berjangkit lain, namun ia memberi kesan terhadap pesakit dan ahli keluarga mereka.
Menurutnya, JKNK mengesan sebanyak 16 kes penyakit kusta dalam tempoh lebih dua tahun di negeri ini dengan tiga kes direkodkan pada tahun ini selain enam kes pada 2024 dan tujuh kes untuk 2023.- KOSMO! ONLINE