MANCHESTER – Penyokong Manchester United mula gusar mengenai nasib Ruben Amorim selepas jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu menyajikan permulaan yang dianggap ‘neraka’ buat pengendali Portugal itu.
Amorim diberi tugas berat memulihkan skuad yang menamatkan musim lalu di tangga ke-15 dan tewas dalam final Liga Europa, namun tetap berjanji kepada penyokong bahawa saat kegemilangan pasukan itu akan tiba.
Bagaimanapun, hasrat untuk membina momentum awal jelas sukar apabila United diundi menentang pencabar utama, Arsenal di Old Trafford pada hari pembukaan musim baharu nanti.
Aksi getir terus bersambung dengan pertemuan menentang Fulham di Craven Cottage, sebelum melayan Burnley dan kemudian berdepan dua seteru utama, Manchester City dan Chelsea secara berturut-turut.
The Red Devils turut dijadualkan bertandang ke Brentford, iaitu lokasi mereka dimalukan 3-4 musim lalu, sebelum jadual semakin mencengkam dengan pertemuan menentang Liverpool, Brighton, Nottingham Forest dan Tottenham.
Jadual padat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penyokong yang bimbang Amorim tidak sempat bertahan sehingga Krismas jika keputusan buruk musim lalu berulang.
“Bakal hilang pada November,” tulis seorang penyokong di media sosial, menggambarkan keraguan terhadap kemampuan Amorim mengharungi tekanan awal musim.
Sekiranya dia masih kekal sehingga 2026, pengendali berusia 39 tahun itu bakal berdepan satu lagi ranjau getir iaitu aksi berturut-turut menentang City dan Arsenal selepas Tahun Baharu. – AGENSI