PETALING JAYA – Seorang penuntut universiti ditahan bersama kira-kira 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bahan lucah dewasa menerusi satu operasi Ops Pedo, baru-baru ini.
Lebih membimbangkan, ada di antara bahan tersebut dihasilkan sendiri oleh suspek melibatkan dua orang kanak-kanak yang juga sepupunya selain dimuat naik dari internet.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, penahanan lelaki itu dilakukan pada 29 April lalu di Pasir Gudang, Johor.
Jelas beliau, tangkapan itu dilakukan hasil kerjasama pihak Google dan Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
“Tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang merupakan sepupunya.
“Suspek telah merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit di tiga lokasi berasingan iaitu di Selangor, Pahang dan Kelantan,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamsiah berkata, bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku salah serta sudah membayar denda RM5,000.
Selain itu katanya, tiga lagi kertas siasatan berasingan dibuka bagi kes merakam aksi kedua-duanya sepupunya melibatkan kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan.
“Bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang,” katanya.
Menurut Kamsiah, dua lagi kejadian iaitu di Maran, Pahang dan Pasir Mas, Kelantan masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya dan siasatan oleh pihak Peguam Negara. – KOSMO! ONLINE