KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki mengalami sesak nafas selepas terhidu asap susulan kebakaran sebuah kereta jenis Nissan Teana di tempat letak kereta aras bawah (basement) sebuah kondominium di Wangsa Maju, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi tadi, semua mangsa yang terdiri lelaki warga asing itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan memberitahu, kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 30 peratus ruang enjin kereta berkenaan.
Namun katanya, asap kebakaran kenderaan telah memenuhi ruangan basement tersebut sehingga menyebabkan 11 lelaki warga asing mengalami sesak sebelum semua mangsa dikejarkan ke HKL.
“Seramai enam daripada 11 orang mangsa dihantar menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Dua mangsa dihantar menggunakan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dan selebihnya dihantar menggunakan ambulans HKL,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, Unit Siasatan Kebakaran PGOKL telah diarahkan untuk hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian. – KOSMO! ONLINE