JOHOR BAHRU – Dua anggota polis yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan di Jalan Austin Heights 7/4, berhadapan premis Sports Hub, di sini dimarahi seorang individu awam.
Kejadian tersebut tular di media sosial menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat bagaimanapun berkata, tiada laporan polis diterima pihaknya berhubung isu tersebut.
“Siasatan dibuat mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 4 pagi, 15 Jun lalu apabila dua anggota dari pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ), Balai Polis Taman Setia Indah berdepan masalah teknikal kenderaan peronda jenis Proton Waja.
“Sistem pendawaian lampu hadapan, belakang serta lampu mata arah (beacon light) gagal berfungsi dengan baik menyebabkan kenderaan tidak dapat digerakkan. Anggota terpaksa berhenti di lokasi sementara menunggu bantuan daripada Unit Penyelenggaraan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Raub, ketika anggota sedang menunggu, seorang lelaki tempatan yang menaiki kereta persendirian berhenti dan mempertikaikan kehadiran anggota polis di lokasi sebelum memulakan provokasi.
“Polis memandang serius penyebaran video yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap anggota bertugas. Keadaan telah dijelaskan dan tindakan susulan telah diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE