KUALA NERUS – Hajat tuan rumah Terengganu Turtles untuk membuka kempen Grand Prix Sirkit Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2025 dengan langkah kanan di laman sendiri tidak kesampaian selepas dikecewakan Negeri Sembilan Antlers dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, di sini malam tadi.
Negeri Sembilan Antlers yang juga juara bertahan keseluruhan musim lalu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 2-1.
Tuan rumah yang mempertaruhkan trio berpengalaman Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Muhamad Zulhusni Basri (apit kiri) dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) bermula garang apabila menguasai set pertama dengan kemenangan 15-13.
Begitupun, set kedua menjadi titik kebangkitan pasukan pelawat yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Zulefendi Sumari (apit kiri) dan Muhammad Hafizul Hayazi (apit kanan) selepas menyusun semula strategi permainan dan tampil lebih kemas untuk menang 15-11.
Set ketiga berlangsung mendebarkan apabila Terengganu Turtles pada mulanya mendahului pada awal permainan namun beberapa kesilapan sendiri membenarkan lawan mengejar dan akhirnya memintas kedudukan pada mata 14-11.
Antlers tidak menoleh ke belakang dan menoktahkan kebangkitan bergaya dengan kemenangan 15-12 sekaligus muncul pendahulu awal kumpulan B.
Mereka kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan slot ke separuh akhir STL 2025. – KOSMO! ONLINE