fbpx

Semakan SST: Hasil kutipan cukai disalur untuk bina hospital, sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA- Hasil kutipan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 Julai depan akan disalurkan untuk membina infrastruktur rakyat seperti pembinaan hospital dan sekolah.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pada masa sama, kerajaan juga memberikan pandangan serius terhadap maklum balas yang diberikan rakyat berhubung perkara berkenaan.

“Pandangan yang serius akan diberikan terhadap maklum balas yang diberikan (rakyat).

“Tapi seperti yang umum sendiri maklum, apa yang dikutip melalui hasil (SST) ini akan disalurkan untuk pembinaan contohnya sekolah dan hospital,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini tadi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu SST juga tidak dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijangka memberi penjelasan lebih lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kerajaan juga komited mengurangkan kecurian ataupun penyelewengan dana dan membanteras rasuah dengan lebih tegas,” katanya.

Katanya, kerajaan juga komited bahawa hasil cukai daripada perluasan skop SST ini diharap dapat membantu lebih ramai rakyat.

Sebelum ini, Amir Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan menjangkakan penambahbaikan SST itu bakal menjana hasil kepada negara sebanyak RM51.7 billion pada 2025.

Menurutnya, hasil kutipan SST bagi 2024 adalah sebanyak RM44.7 bilion.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI