fbpx

Remaja 17 tahun didakwa bunuh ibu, abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMAJA berusia 17 tahun didakwa membunuh ibu dan abangnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai dalam kejadian Khamis lalu.

MELAKA – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk membunuh ibu dan abangnya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, minggu lalu.

Tertuduh yang kelihatan sugul hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibu dan abangnya berusia 51 dan 21 tahun di sebuah rumah di  Taman Rambai Mutiara pada pukul 5 dan 5.30 pagi, 12 Jun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan adik lelakinya berusia 13 tahun dengan pisau lipat di lokasi, masa dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan tidak menawarkan sebarang jaminan dan peguam Cassian Anthony yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan.

Mahkamah menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! pada 12 Jun lalu melaporkan seorang guru wanita dan anak lelakinya mati dipercayai dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, dua beranak tersebut dijumpai terbaring berlumuran darah di ruang tamu, manakala anak bongsu berusia 13 tahun berada di garaj.

Susulan kejadian itu, polis menahan anak kedua mangsa dan merampas pisau lipat sepanjang 20 sentimeter yang ditemukan dalam beg sekolah suspek.

Motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana mangsa sering memarahi suspek dan memaksa belajar bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI