KOTA BHARU – Kebanyakan mangsa yang tertipu dalam jenayah penipuan ‘phone scam’ di Kelantan terdiri daripada golongan pesara dan penjawat awam yang berusia 40 tahun ke atas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek dalam jenayah komersil berjaya menyakinkan mangsa sehingga mereka takut dan percaya itu bukan satu penipuan dalam talian, bagaimanapun tiada isu atau unsur pukau dalam jenayah tersebut
“Perkara itu berlaku kerana suspek berjaya menyakinkan mangsa sehingga menyebabkan mangsa takut dan sanggup menyerahkan kad bank dan wang.
“Kejadian itu membuktikan bahawa masyarakat masih belum sedar dengan kes penipuan siber terutama membabitkan ‘phone scam’ yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 149 kes dengan kerugian RM4.2 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff memberitahu, kes jenayah komersil di Kelantan mencatatkan 601 kes dengan nilai kerugian RM14.1 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Kes jenayah siber dan multimedia adalah paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 401 kes dengan nilai kerugian RM7.47 juta berbanding 265 kes dengan kerugian RM5.19 juta pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan sebanyak 70 peratus jenayah siber dan multimedia itu termasuk phone scam, E-dagang, tipu tawaran kerja, love atau parcel scam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE