ORLANDO – Jurulatih pasukan Mamelodi Sundowns, Miguel Cardoso teruja dapat calar ego wakil dari benua Asia, Ulsan HD untuk melakar kemenangan 1-0 pada aksi di Kumpulan F saingan Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Inter&Co itu, skuad yang terkenal dengan jolokan Masandawana dari Afrika Selatan itu meraih tiga mata penuh hasil penyudah Iqraam Rayners pada minit ke-36.
Kata Cardoso, barisan pemain telah mencapai objektif yang disasarkan pada aksi pertama tetapi ujian sebenar adalah ketika bertemu dua pasukan pilihan, Borussia Dortmund dan Fluminense nanti.
“Saya rasa ini bukanlah perlawanan yang mudah, tetapi pemain telah menunjukkan aksi bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan. Kita cukup teruja dapat menentang pasukan dari Asia dan tidak sabar untuk bertemu Dortmund dan kelab Brazil selepas ini.
“Mengenai potensi ke peringkat kalah mati, saya rasa semua pasukan memiliki peluang seimbang kerana pemain perlu yakin dan tidak perlu merendah diri,” katanya.
Sementara itu, pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon enggan menyalahkan barisan pemain selepas gagal meraih keputusan yang diharapkan.
“Kita tidak berjaya mencuri mata pada aksi pertama kali ini tetapi apa yang pemain pamerkan di atas padang sudah memuaskan. Bukan mudah untuk beraksi dalam keadaan cuaca panas tetapi mereka berikan yang terbaik,” kata bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu. – AGENSI