TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok elektronik atau vape bernilai RM182,000 dalam serbuan di sebuah premis tanpa lesen di depan sekolah di Kampung Kelaboran di sini semalam.
Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 1.45 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota Batalion 9 PGA dan pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT).
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat seorang lelaki berusia 31 tahun berada di dalam premis tersebut.
“Lelaki itu gagal mengemukakan dokumen dan lesen berkaitan kepada MDT. Oleh itu kita merampas 1,380 unit termasuk peranti, cecair vape dalam tin dan peket,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM182,000. Rampasan itu diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.
Media sebelum ini melaporkan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah meluluskan sebarang lesen perniagaan bagi penjualan rokok elektronik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah dilaporkan berkata, tindakan rondaan dan penguatkuasaan oleh PBT sentiasa dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan dan pengiklanan vape di negeri ini.
Selain itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 secara jelas mengawal ketat kegiatan penjualan, pengiklanan dan tempat merokok semua jenis produk termasuk vape. – KOSMO! ONLINE