MELAKA – Pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kuil di negeri ini direman enam hari selepas disyaki menyeleweng wang milik organisasi itu berjumlah RM50,000 tahun lalu.
Perintah reman sehingga 23 Jun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani terhadap suspek lelaki berusia 61 dan 75 tahun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan pada pukul 11.45 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Katanya, individu terbabit dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan mengeluarkan wang persatuan berjumlah RM50,000 tanpa kelulusan atau pembentangan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa.
“Difahamkan wang itu juga digunakan untuk tujuan peribadi tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE