KUALA LUMPUR – Penerbit Eksekutif filem Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad menegaskan Naim Daniel bukanlah pelakon yang akan menjayakan watak Tiong Man seperti yang didakwa ramai.
Menurut Jastina, setakat ini, pihak Astro Shaw masih belum menetapkan siapa pelakon yang akan memegang watak sebagai Tiong Man.
“Kami masih belum membuat keputusan siapa yang akan memegang watak-watak dalam sekuel filem Keluang Man.
“Bila kami benar-benar pasti siapa yang akan memegang watak apa nanti, kami akan dengan gembiranya mengumumkan kepada semua.
“Jadi Naim Daniel bukan Tiong Man. Not at this moment (bukan untuk waktu sekarang),” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya lagi, pasukan kreatif Keluang Man masih lagi sedang menggarap jalan cerita dan watak-watak yang akan muncul dalam sambungan filem itu kelak.
“Apa yang anda lihat dalam filem Keluang Man, tidak semestinya seperti apa yang anda fikirkan. Segala kemungkinan boleh berlaku. Kena tunggu dan nantikan kesinambungannya,” jelasnya.
Kelibat Naim muncul dalam beberapa buah babak filem arahan Anwari Arshad itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan kononnya dia yang akan menggalas watak sebagai ‘side kick’ kepada Keluang Man lakonan Nas-T.
Semalam, Naim didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu di sebuah hotel.
Disebabkan itu, netizen mula bimbang seandainya kes itu akan menggugat kedudukannya sebagai Tiong Man untuk sekuel filem yang akan datang.
Namun setakat ini, belum ada pengesahan bahawa watak itu bakal dilakonkan oleh Naim. Semuanya hanyalah spekulasi netizen semata-mata. – KOSMO! ONLINE