BESUT – Biarpun sudah 10 hari berlalu, Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, yang terselamat dalam nahas bas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak masih dihantui insiden tersebut.
Gadis itu yang mengalami kecederaan patah bahu kiri kerap sebak apabila mengenangkan nasib 15 rakan sekampusnya yang terkorban dalam kejadian tersebut.
“Saya masih trauma dan rasa sesak dada setiap kali mendengar bunyi enjin bas bergerak terutama dari arah jalan yang terletak 100 meter dari rumah.
“Melihat gambar dan video bas dalam telefon bimbit membuatkan saya tidak keruan dan menangis secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh di sini hari ini.
Terdahulu, Nur Ain Najwa menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Nur Ain Najwa berkata, setiap kali rasa trauma itu timbul, dia akan beristighfar dan selawat bagi meredakan emosinya.
Pelajar tahun dua Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pendidikan itu turut mengikut saranan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya melakukan aktiviti kegemaran bagi mengelakkan trauma berpanjangan. – KOSMO! ONLINE