PASIR PUTEH – Seorang lelaki parah selepas ditetak sekumpulan individu yang memakai pelitup muka dan bersenjatakan parang di Kampung Baru Nelayan, Tok Bali di sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian pukul 11.35 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun cedera di lutut kiri dan buku lali kanan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berada di depan rumah rakan salah seorang suspek.
Katanya, lelaki itu kemudian didatangi beberapa individu yang berpelitup muka sebelum menyerangnya.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian ekoran kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan kejadian itu, polis memberkas lima lelaki dan giat mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE