PETALING JAYA – Keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang meluahkan rasa kecewa susulan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyebarkan gambar Presiden Pas itu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.
Anak Abdul Hadi, Dr Muhammad Khalil, berkata, tindakan Dr. Dzulkefly itu disifatkan sebagai tidak menghormati privasi keluarga dan prosedur operasi standard lawatan di hospital.
“Malah, penyebaran gambar Tuan Guru tanpa izin keluarga yang dimuat naik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam, amatlah tidak wajar” katanya di media sosial, petang ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Dr Dzulkefly menerusi kenyataan memaklumkan, Abdul Hadi dijangka dibenarkan pulang dalam waktu terdekat selepas menerima rawatan di IJN.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Abdul Hadi yang kini sedang menerima rawatan di IJN.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati Dr. Dzulkefly telah menurunkan gambar Abdul Hadi yang dimuat naik di Facebook beliau.-KOSMO! ONLINE.