SUNGAI PETANI – Polis memburu seorang lelaki disyaki melarikan beg telekung berisi barang kemas dan wang tunai milik jemaah di Masjid Batu Lintang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, perbuatan suspek dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) ketika memasuki ruang solat jemaah wanita.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek dipercayai melarikan beg tukang cuci wanita berusia 56 tahun yang mengikuti kuliah agama di masjid itu.
“Selesai kuliah agama, mangsa meletakkan beg telekungnya di tepi tiang ruang solat sebelum menunaikan solat isyak berjemaah.
“Mangsa kemudian menyedari beg telekungnya yang berisi wang RM1,000, tiga bentuk cincin, seutas rantai leher dan sepasang subang emas tiada selepas selesai solat isyak sebelum memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid,” katanya hari ini.
Kata beliau, mangsa yang mengalami kerugian RM9,000 membuat laporan di Balai Polis Tikam Batu.
Tambahnya, semakan CCTV mendapati seorang lelaki memasuki ruang solat dan mengambil beg mangsa sebelum meninggalkan masjid dengan motosikal yang dinaiki bersama seorang wanita.
“Beberapa jemaah mengejar suspek hingga ke Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, namun pasangan itu sempat meloloskan diri. KIta sedang mengesan nombor pendaftaran motosikal suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE