PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan rasa teruja apabila dimaklumkan kerja-kerja pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di Langkawi berjalan lancar.
Katanya, sekolah berkenaan juga bakal siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini, sekali gus isu sekolah padat yang berbangkit di daerah berkenaan dapat ditangani.
“Projek sekolah baharu ini merangkumi pembinaan blok akademik dan blok pentadbiran serta kemudahan seperti padang permainan, gelanggang sukan, pejabat am dan kantin.
“Ia adalah sangat signifikan dengan usaha Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan akses pendidikan di Langkawi,” katanya di media sosial, hari ini.
Tambahnya, beliau juga tidak sabar untuk kembali apabila sekolah berkenaan siap sepenuhnya.
“Tahniah kepada semua yang telah berusaha keras memastikan projek pembangunan pendidikan ini berjalan lancar.
“Tidak sabar untuk kembali ke sini apabila sekolah ini siap sepenuhnya nanti!,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE