MIAMI – Tiga layangan kad merah mewarnai aksi Boca Juniors dan Benfica di Stadium Hard Rock, semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.
Lebih menarik, dua pemain kebangsaan Argentina, Nicolas Otamendi dan Angel Di Maria menjadi pemusnah kepada kepada kelab Argentina berkenaan apabila kedua-duanya meledak gol buat Benfica.
“Walaupun kami tahu mengenai bola sepak Argentina, kami cuba memenangi perlawanan ini. Kami tahu bagaimana untuk bermain, namun kami tidak dapat beraksi lebih baik pada babak pertama.
“Pada babak kedua, kami bertambah baik. Usaha kami untuk memenangi perlawanan seakan tidak cukup untuk berpuas hati dengan keputusan seri,” kata Di Maria.
Terdahulu, Boca Juniors memulakan perlawanan dengan positif apabila mendahului dua gol menerusi Miguel Merentiel dan Rodrigo Battaglia, namun di penghujung babak pertama, Ander Herrera dilayangkan kad merah.
Kesempatan itu pantas dimanfaatkan oleh Di Maria sebelum Otamendi meledak gol penyamaan di hujung permainan. Pemain Benfica, Andrea Belotti turut dilayangkan kad merah diikuti kad merah kedua Boca Juniors menerusi Nicolas Figal.
“Perasaan kami agak pedih kerana kami fikir kami mampu memenangi perlawanan ini. Kami sudah pun beri segala-galanya untuk bersaing dan agak pahit untuk menamatkan perlawanan seperti ini,” kata Battaglia. – AGENSI