SHAH ALAM – Seorang bekas Timbalan Speaker Dewan Negara mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM235,000 dan tiga buah kenderaan mewah bagi projek penambakan laut seluas 40.4 hektar di Melaka.
Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, yang menghadapi 20 pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan 17 pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa menerima suapan tunai RM235,000 daripada pengarah syarikat subkontraktor bergelar Datuk.
Bagi tiga pertuduhan lain, Mohamad Ali didakwa menerima tiga buah kenderaan jenis BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur daripada individu sama.
Ia sebagai balasan bagi melantik individu berkenaan dan syarikatnya sebagai kontraktor bagi kerja-kerja “Construction and Completion Of Reclamation Works and All Related Works” bernilai RM45,165,000.
Kerja-kerja itu merupakan projek cadangan tambak laut seluas 40.4 hektar di perairan Kota Laksamana, Kawasan Bandar 6, Melaka Tengah untuk tujuan pembangunan bercampur oleh syarikat tertuduh.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di dua buah premis di Glenmarie di sini dan Sungai Buloh pada Januari 2017 hingga 20 Januari tahun ini.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan sebanyak RM60, 000 bersama seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Md. Yunos Shariff bersetuju dengan jumlah itu untuk kesemua 20 pertuduhan. Mahkamah membenarkan cadangan pihak pendakwaan dan tertuduh juga dilarang berhubung dengan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Julai ini. – KOSMO! ONLINE