PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendoakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya diberikan kesihatan yang berterusan.
Ucapan ringkas itu dibuat susulan laporan media mengenai Abdul Hadi yang selesai menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Maklumat itu disampaikan anaknya, Dr. Muhammad Khalil.
“Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Haji Hadi, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Muhammad Khalil memaklumkan, Abdul Hadi berjaya menjalani prosedur rawatan tersebut, namun tidak dinyatakan secara terperinci.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Abdul Hadi mempunyai sejarah penyakit jantung dan sudah beberapa kali menerima rawatan di hospital sama. – KOSMO! ONLINE