fbpx

2 penjawat awam ditahan sekongkol sindiket palsukan ePLKS 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki warga pakistan antara ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di sekitar ibu negara.

PETALING JAYA – Dua sindiket yang aktif menjalankan kegiatan mencetak pelekat imigresen dan Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu terbongkar selepas ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM) baru-baru ini.

Operasi bermula pukul 11 pagi di dua lokasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kelmarin itu dilaksanakan hasil aduan dan risikan pihak berkuasa selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, premis itu didalangi seorang lelaki Pakistan yang tiada dokumen perjalanan atau pas sah untuk tinggal di negara ini.

“Modus operandi sindiket itu adalah dengan meminda dan mencetak pelekat imigresen palsu menyerupai dokumen tulen.

“Setiap pelekat dijual pada harga RM100 hingga RM120, bergantung kepada negara yang tertera pada dokumen berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil serbuan, Zakaria berkata, pasukan operasi merampas 13 pelekat palsu yang ditampal pada visa Bangladesh, India, Amerika Syarikat (USA), Indonesia dan Pakistan.

Selain itu, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu turut disita.

“Seorang lelaki dan wanita tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam operasi hari sama di Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, pihak berkuasa menahan dua wanita serta seorang lelaki tempatan berusia 40 hingga 43 tahun dipercayai dalang utama sindiket pemalsuan pelekat imigresen.

“Siasatan awal mendapati dua daripada mereka adalah penjawat awam. Suspek menguruskan ePLKS untuk warga asing yang berada di Lembah Klang.

“Semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud dalam sistem imigresen. Kadar bayaran yang dikenakan adalah RM11,000.00 dan dipercayai beroperasi sejak hujung tahun lalu,” katanya.

Zakaria berkata, pasukan operasi menyita 101 naskhah pasport Sri Lanka, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Ghana, India, Pakistan, Bangladesh, Syria, dua buah telefon bimbit dan salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Turut disita sebuah kenderaan Toyota Vellfire. Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI