PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki dipercayai pelajar universiti yang didakwa merakam bahagian bawah skirt seorang wanita di Bukit Bintang pada Ahad lalu terbongkar selepas dia ditahan beberapa individu.
Menerusi video tular di Facebook milik Sinn Er, lelaki berkenaan dilihat meletakkan telefon bimbitnya di dalam sebuah beg kertas sebelum menghalakannya ke arah bawah skirt mangsa ketika orang ramai sedang melintas jalan.
Klip tersebut turut memaparkan sekumpulan lelaki yang juga kenalan kepada wanita itu bertindak menahan suspek selepas menyedari perbuatannya, sebelum seorang pegawai polis tiba bagi mengawal keadaan.
Menurut rakan mangsa, mereka menemui kira-kira 500 Gigabyte (GB) video rakaman bawah skirt dalam telefon suspek sekali gus menunjukkan ramai mangsa lain terlibat.
“Kami cuba laporkan kepada polis, namun diberitahu kami juga mungkin disabitkan kesalahan kerana menggunakan kekerasan semasa menangkapnya.
“Jadi, kami tiada pilihan lain selain padam semua video, ‘backups’ (sandaran) dan pergi,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pelajar terbabit.
“Muka je kacak, tapi tangkap video tak senonoh,” komen seorang pengguna.
“Ouh, macam ini ke taktik dia. Lepas ini memang kena hati-hati dengan orang yang bawa beg macam itu,” ujar seorang lagi. – KOSMO! ONLINE