BAGAN DATUK – Pekan Bagan Datuk yang selama ini dikenali oleh pengunjung sebagai pekan koboi kini berubah wajah dengan wujudnya Dataran Waterfront Bagan Datuk yang menjadi mercu tanda serta melonjakkan ekonomi setempat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rungutan warga Bagan Datuk bahawa pekan tersebut sesak dengan kenderaan pada hujung minggu juga merupakan suatu yang baik kerana kehadiran pelancong ke sana merancakkan ekonomi setempat.
Selain itu, beliau berkata, ia turut merangkumi pemuliharaan fasad bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar pekan Bagan Datuk.
“Landskap Dataran Waterfront Bagan Datuk turut diserikan lagi dengan adanya replika tempurung kelapa bersama-sama air pancut (fountain), bangunan BD Walk dan sebuah replika kapal jong.
“Terkandung dalam replika kapal itu adalah set alat permainan kanak-kanak dan informasi sejarah di bahagian dalamnya,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada majlis peramian Dataran Waterfront Bagan Datuk yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Keberangkatan Sultan Nazrin ke Majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk berkenaan diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis tersebut sangat bermakna kepada beliau dan rakyat jelata kerana dapat menyaksikan terbinanya kemudahan infrastruktur yang tersergam indah di Bagan Datuk berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan infrastruktur itu memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini khususnya di daerah Bagan Datuk.
“Patik serta rakyat jelata sekalian amat bersyukur dengan pembangunan daerah Bagan Datuk, khususnya di pekan Bagan Datuk yang telah diberi nafas baharu dengan adanya Dataran Waterfront Bagan Datuk yang tersergam indah ini.
“Pembinaan Dataran Waterfront ini adalah satu lagi tarikan istimewa buat para pengunjung dari dalam dan luar daerah Bagan Datuk,” katanya.
Beliau berkata, dengan terbinanya dataran itu, rakyat jelata khususnya penduduk Bagan Datuk dapat meluangkan masa untuk beriadah bersama keluarga di samping menikmati keindahan matahari terbenam berlatarkan muara Sungai Perak pada waktu senja.
“Bukan itu sahaja, aktiviti-aktiviti seperti perkhidmatan permainan kereta kanak-kanak, kumpulan busking tempatan dan gerai-gerai turut memeriahkan lagi suasana malam minggu di dataran ini sekali gus merancakkan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan dan agensi-agensi berkaitan atas sumbangan sepanjang kerja-kerja pembinaan dataran itu dilaksanakan.
“Sesungguhnya, berkat kewibawaan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku jua, jentera pentadbiran negeri Perak Darul Ridzuan berjaya memacu
pembangunan negeri dengan lebih pesat di samping memberi keutamaan terhadap usaha membela kesejahteraan rakyat menerusi program dan inisiatif yang telah dijalankan.
“Patik sekalian akan terus istiqamah dan melafazkan ikrar taat setia bagi menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memastikan kebajikan rakyat terjamin, seterusnya kemakmuran Perak Darul Ridzuan dapat dipertahan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya.- KOSMO! ONLINE