KANGAR – Ratusan kayu termasuk jenis cengal dan meranti bermutu tinggi yang berusia puluhan tahun serta dua chalet hampir siap dibina musnah dalam kebakaran bengkel kayu di Sungai Mati, Ngulang, dekat sini malam tadi.
Menurut pemilik bengkel kayu, Sabri Mohamad, 53, dia mengalami kerugian kira-kira RM80,000 selepas sebahagian besar stok kayu miliknya itu hangus dalam kejadian tersebut.
“Kejadian itu mengakibatkan stok kayu berkualiti daripada rumah tradisional yang rata-rata berusia puluhan tahun rentung. Ia turut menyebabkan dua chalet yang ditempah khas oleh pelanggan rosak.
“Kedua-dua chalet masing-masing bernilai RM27,000 dan RM24,000 itu hanya menunggu masa untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, terdapat seorang pekerja yang tinggal di bengkel kayu miliknya itu, namun ketika kejadian, lelaki terbabit tiada di premis kerana mempunyai urusan lain.
“Saya hanya diberitahu mengenai kejadian selepas dihubungi jiran-jiran yang turut membantu pihak bomba mengawal kebakaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera, kenderaan utiliti dan sebuah lori tangki air bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam tadi.
“Kebakaran melibatkan kawasan premis seluas 853 meter persegi dan mengakibatkan kemusnahan kira-kira 40 peratus. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dalam kebakaran tersebut dan punca sebenar kejadian masih disiasat pasukan forensik kebakaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE