SHAH ALAM- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memperkukuhkan kerjasama dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan penyelarasan projek pembangunan SA Sentral.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas, perjanjian yang dimeterai untuk tempoh lima tahun itu mencerminkan iltizam berterusan kedua-dua pihak dalam merencana pembangunan Shah Alam secara lebih strategik dan mampan, seiring dasar serta garis panduan pihak berkuasa tempatan.
“Untuk projek SA Sentral, buat masa ini kita sedang membina Aneka Walk yang akan menempatkan kawasan perniagaan dan juga turut diadakanpesta kebudayaan, pesta muzik dan sebagainya.
“Di luar Aneka Walk pula, kita akan tempatkan para pengusaha daripada unit pembangunan usahawan kita untuk belajar berniaga sebelum diberi ruang dalam Kompleks PKNS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara dua entiti tersebut di sini baru-baru ini.
Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd.Yatim.
Mahmud berkata,projek Aneka Walk tersebut sudah berada pada fasa terakhir untuk disiapkan sebelum dibenarkan beroperasi hujung tahun ini.
Sementara itu Mohd.Fauzi berkata, MoU tersebut memberi keyakinan kepada pihaknya untuk memastikan pembangunan SA Sentral dapat berjalan dengan lancar.
“Dalam MoU ini, ada dinyatakan tentang penubuhan jawatankuasa khas untuk membincang dan memudahkan segala perancangan dan pembangunan SA Sentral,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE