PETALING JAYA – Penyanyi popular era 1990-an, Sheqal meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban pukul 12.31 tengah hari, sebentar tadi.
Menurut balunya, Normah Mohd. Yusoff, 58, jenazah Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin, 60, masih berada di hospital dan akan dikebumikan di kampung halaman Allahyarham di Raub, Pahang.
“Allahyarham meninggal dunia ketika dia ditidurkan.
“Tiada lagi kesakitan dan semuanya berlaku dalam keadaan sangat tenang,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Terdahulu, Allahyarham Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun lalu.
Menerusi perkahwinan dengan bekas isteri, Raja Ema, Sheqal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah.
Manakala perkahwinan dengan Norma dikurniakan sepasang anak iaitu Muhammad Fatullah bin Shaharim, 21, dan Ummu Hani binti Shaharim, 20.
Penyanyi yang popular dengan muzik Nusantara dan pop tradisional kelahiran Pahang itu mengecap populariti menerusi lagu-lagu seperti Zapin Rindu-rinduan, Cinta Nusantara dan Ratib Orang Lautan.
Kerjaya seni Allahyarham banyak dipacu penerbit terkenal Manan Ngah dan hingga kini sering dijadikan rujukan untuk genre muzik tersebut sebaris dengan rakan-rakan seangkatan seperti Kopratasa, M. Nasir, To’ki, ND Lala, Noraniza Idris dan Zainal Abidin.
Pada hujung kehidupan, beliau bergiat aktif sebagai usahawan dan pakar motivasi dan tidak bercadang untuk kembali ke industri muzik selepas album terakhirnya pada 1998. – KOSMO ONLINE