MELAKA – Remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu dan abangnya menggunakan sebilah pisau lipat akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit pada malam ini.
“Untuk makluman, suspek kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh ibu dan abang) akan dituduh di mahkamah esok,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Kosmo! pada 12 Jun lalu melaporkan, seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.
Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu, manakala anak bongsu berusia 13 tahun yang terselamat berada di kawasan garaj kediaman tersebut.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja yang juga merupakan anak kedua keluarga tersebut berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan.
Hasil pemeriksaan di lokasi turut menjumpai senjata iaitu pisau lipat sepanjang 20 sentimeter di dalam beg sekolah milik suspek.
Motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi suspek dan memaksanya belajar kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.-KOSMO! ONLINE