BESUT – Tiga lukisan tentang bas, jalan raya dan tulisan kreatif berkaitan kematian peninggalan Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah gambaran nahas yang mengorbankan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dan 14 rakan sekampus lain di Gerik, Perak pada minggu lalu.
Ibu Muhammad Mustaqim, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata, dia dan suaminya, Rosde Yaakub, 58, terkejut menemukan tiga lukisan terbabit di dalam bilik tidur arwah anaknya beberapa hari lalu.
“Tiga lukisan itu merupakan sebahagian daripada lebih 100 koleksi arwah yang tersimpan rapi dalam fail di bilik tidurnya.
“Di belek betul-betul, lukisan sebuah bas dan pemandangan jalan raya berlatar belakang hutan dan besi penghadang jalan itu seakan-akan gambaran kemalangan yang meragut nyawa dia dan rakan-rakannya pada 9 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Nibung, Hulu Besut di sini hari ini.
Terdahulu dia dan suami disantuni Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Juariah berkata, satu lagi lukisan tulisan kreatif berkaitan mati yang ditinggal arwah Muhammad Mustaqim membuatnya benar-benar sebak.
Katanya, walaupun kaitan lukisan tersebut dan tragedi berlaku hanyalah kebetulan, ia khazanah berharga peninggalan arwah anaknya yang perlu dijaga rapi sebagai kenangan berharga.
“Kami memang tahu arwah (Muhammad Mustaqim) gemar melukis tetapi tidak sangka pula dia simpan koleksi lebih 100 lukisan di dalam bilik tidurnya.
“Semuanya diketahui apabila saya dan suami mengemas bilik tidurnya beberapa hari selepas jenazah anak kami itu selamat dikebumikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE