KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang maut ditembak di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini, semalam diserang secara mengejut.
Berdasarkan tarikh dan waktu pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 10.56 malam.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama dua lagi individu dilihat ingin menaiki kenderaan di kawasan ‘valet’ pusat beli-belah terbabit sebelum seorang lelaki bersenjatakan pistol meluru ke arah mereka.
Empat lagi lelaki yang disyaki memiliki senjata api turut dilihat berlari ke lokasi sebelum masing-masing melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Seorang mangsa yang dilihat rebah di tepi kereta ditembak sekali lagi di kepala sebelum suspek membawa lari beg miliknya.
Dalam pada itu, seorang individu yang bersama mangsa sempat menaiki kenderaan manakala seorang lagi bersembunyi di sebalik kenderaan yang terletak berhampiran.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, berasal dari Sibu, Sarawak.
Terdahulu, tular beberapa video dan rakaman kameran papan pemuka (dashcam) di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng melepaskan tembakan ke arah mangsa di hadapan pusat beli-belah itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE