LONDON – Seorang ahli perniagaan dari Britain mendedahkan bahawa tempat duduk 11A pesawat Air India yang terhempas minggu lalu sepatutnya menjadi miliknya sebelum dia menukar ke penerbangan lain, lapor akhbar Metro UK semalam.
Owen Jackson sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad untuk pulang ke Britain pada Khamis lalu.
Namun, dia terpaksa menukarkan penerbangannya kepada hari Sabtu atas faktor kerja yang memerlukan dia tinggal di India lebih lama daripada tarikh dirancang.
Lebih mengejutkan, Jackson diletakkan di kerusi bernombor 11A, di mana satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas itu duduk.
“Ia adalah satu kejutan. Saya sangat bersyukur. Ia juga satu kebetulan yang aneh.
“Anda sering mendengar tentang pesawat terhempas dan tidak mengendahkannya. Namun, apabila ia merupakan pesawat yang sepatutnya anda naiki, ia membuatkan anda berfikir panjang,” kata Jackson.
Kerusi 11A diduduki oleh penumpang bernama Vishwash Kumar Ramesh. Dia merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas Air India minggu lalu yang mengorbankan 241 orang di dalam pesawat dan kira-kira 33 mangsa di darat. – AGENSI