KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan zakat agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan.
Beliau berkata, ia kerana implikasinya bukan sahaja di dunia, malah lebih berat di akhirat.
Katanya, wang zakat adalah hak golongan asnaf dan perlu diurus dengan penuh integriti serta rasa tanggungjawab yang tinggi.
“Kita kena ingat, amanah ini sangat besar. Jangan main-main dengan duit zakat.
“Dunia mungkin nampak senang, tapi akhirat akan membalas dengan lebih berat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2024, di sini hari ini.
Menurut beliau, pengkhianatan terhadap amanah zakat bukan sahaja menjejaskan kepercayaan masyarakat, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada individu dan keluarga mereka.
“Sebab itu saya mohon kepada semua warga kerja Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kita kena pegang amanah ini betul-betul. Jangan sampai tergolong dalam golongan pengkhianat.
“Kalau kita jaga amanah ini, ia akan membawa keberkatan kepada keluarga kita. Kita nak anak-anak membesar dalam suasana rezeki yang berkat. Usaha bantu golongan asnaf ini adalah jalan terbaik cari keberkatan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang terlibat dalam pengurusan zakat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan ikhlas.
“Duit zakat memberi ruang untuk kita jadi manusia terbaik yang memberi manfaat kepada orang lain. Tapi kalau tak dijaga, ia boleh menghancurkan kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE