KUALA LUMPUR – Syarikat pelancongan haji dan umrah digesa untuk tidak menggunakan golongan agamawan tertentu sebagai tarikan bagi meraih keyakinan orang ramai untuk menunaikan haji melalui agensi mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah membuka ruang kepada penipuan berskala besar.
“Saya beri amaran kepada individu dan syarikat yang tidak bertanggungjawab.
“Jangan guna nama agama untuk menipu. Kita kesal apabila ada syarikat yang sanggup menggunakan golongan agamawan tertentu bagi memberi keyakinan palsu kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2024, di sini hari ini.
Menurut beliau, kewujudan permintaan daripada orang ramai yang terlalu ingin menunaikan haji secara ekspres telah membuka peluang kepada sindiket dan agensi tidak sah mengambil kesempatan.
“Kalau tiada permintaan, takkan ada ‘supply’ (penawaran). Rakyat perlu sedar dan patuhi peraturan.
“Kita sudah banyak kali buat rayuan dan peringatan agar tidak tertipu, kerana kerugian yang dialami bukan sedikit, mencecah puluhan ribu ringgit bagi setiap individu,” katanya.
Mohd. Na’im turut menasihatkan para agamawan agar memainkan peranan membentuk masyarakat yang mematuhi undang-undang, bukannya terlibat atau menyokong mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Kita nak masyarakat Islam jadi contoh dalam kepatuhan kepada sistem. Jangan kita rosakkan nama agama hanya kerana ingin mengaut keuntungan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im turut menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan haji supaya tampil membuat aduan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan segera.
Menurutnya, setiap laporan yang diterima akan disiasat secara terperinci bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas individu atau syarikat terlibat, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Tabung Haji 1995.
“Saya juga berharap mangsa turut membuat laporan polis agar siasatan penuh dapat dijalankan terhadap pihak yang menawarkan pakej haji secara tidak sah, tetapi akhirnya gagal menunaikan janji dan wang yang dibayar pula tidak diketahui ke mana,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE