LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson mengakui berminat untuk menyertai Atletico Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini, namun segalanya bergantung kepada ‘lampu hijau’ yang diberikan oleh Liverpool.
Tonggak pertahanan Liverpool itu terbuka untuk mencari angin baharu di Sepanyol, lebih-lebih lagi apabila rakan gandingannya, Trent Alexander-Arnold turut memulakan lembaran baharu di Sepanyol bersama Real Madrid.
Pakar Perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan perbincangan awal antara Atletico dan Robertson sedang berjalan, namun kelab Sepanyol itu berharap dapat mendapatkan khidmatnya secara percuma.
“Robertson memang berminat ke Atletico dan ejen yang sama mewakilinya seperti Trent, jadi bayangkan pada musim panas yang sama dua bek sayap dari Liverpool, Trent di sebelah kanan dan Robertson di sebelah kiri akan berpindah, Real Madrid dan Atletico. Ia akan menjadi derbi istimewa.
“Tetapi, Atletico berharap dapat perjanjian percuma, iaitu apabila pemain itu meninggalkan Liverpool secara baik dengan lampu hijau daripada kelab, atau mungkin dengan bayaran yang kecil, bergantung kepada keputusan Liverpool nantinya,” katanya.
Robertson, 31, masih berbaki setahun kontrak dan The Reds sedang menyasarkan Milos Kerkez dari Bournemouth yang dijangka tiba pada harga sekitar £40 juta -£45 juta (RM230 juta – RM258 juta) sebagai pengganti.
Kerkez dijangka akan merampas tempat pemain Scotland itu dalam kesebelasan utama Liverpool, walaupun dia kekal sehingga tahun terakhir kontraknya.
Sejak menyertai Liverpool pada 2017 dari Hull City pada harga £8 juta (RM46 juta), Robertson tampil cemerlang dan menjadi sebahagian penting pasukan apabila The Reds menjuarai sembilan trofi utama bersama Liverpool. – AGENSI