KOTA BHARU – Dua tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar di sebuah rumah di Ketereh dekat sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Hassan Derman, 56, dan Mohamad Ismail Mohammad Piah, 31, masing-masing hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, namun tiada pengakuan direkodkan oleh kedua-dua lelaki itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup 11 orang migran warga Bangladesh dan 24 orang migran warga Myanmar di sebuah rumah di Jalan Syed Kuning, Kadok di Ketereh dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 19 Mei lalu.
Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan rakaman deposisi migran yang diseludup dan penyerahan dokumen.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 35 PATI termasuk lima wanita ‘disumbat’ di dalam sebuah rumah yang dijadikan transit sebelum bergerak ke destinasi lain di Jalan Syed Kuning, Ketereh di sini pada 19 Mei lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas rumah terbabit diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 11.30 pagi ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan. – KOSMO! ONLINE