ORLANDO – Pengendali Ulsan Hyundai, Kim Pan-gon tetap memasang impian besar untuk membawa pasukan Korea Selatan itu mara sehingga ke peringkat kalah mati pada saingan Piala Dunia Kelab kali ini.
Bagaimanapun bekas pengendali Malaysia itu akui pertemuan dengan Mamelodi Sundowns di Stadium Inter&Co, pagi esok sebagai detik penting kepada objektif pasukan pada penampilan kali ini.
Pan-gon kini dalam fasa penting untuk menyiapkan skuad terbaik dan anggap anak buahnya sedang membawa misi wajib menang ke atas Mamelodi Sundowns.
“Sebagai pasukan yang mewakili Korea Selatan dan Asia, kami berada di bawah tekanan untuk menentang kelab daripada benua lain. Namun saya percaya untuk mara ke pusingan 16 adalah cukup penting.
“Perlawanan pertama menentang Mamelodi Sundowns akan menjadi misi penting kepada misi kami. Selepas itu adalah penting untuk kami mengutip mata ketika menentang Fluminense dan Borussia Dortmund,” katanya.
Dalam masa sama, Pan-gon merasakan format 32 pasukan pada peganjuran kali ini akan menarik minat lebih besar daripada seluruh dunia dan ini adalah peluang buat pasukannya menentang pasukan berkelas dunia.
“Saya yakin rakyat Korea Selatan ada tinggak di Amerika Syarikat dan tidak sabar lagi untuk menyaksikan Ulsan Hyundai bermain. Saya kini memikul tanggungjawab untuk membebaskan pasukan daripada tekanan sekaligus mampu bermain dengan baik,” katanya. – AGENSI