KUALA LUMPUR – Lima gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Myanmar antara 10 yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan haram di Desa Sri Hartamas, di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan menerusi Op Noda (Hiburan) itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Balai Polis Sri Hartamas pada pukul 11.15 malam.
“Serbuan dilakukan hasil risikan kerana disyaki beroperasi tanpa lesen sah, menggaji pekerja asing tanpa permit dan melanggar pelbagai undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, antara yang ditahan termasuk seorang lelaki warga Myanmar disyaki penjaga premis, empat lelaki pekerja, serta lima wanita berusia antara 22 hingga 35 tahun yang bertugas sebagai GRO.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan sebuah buku catatan jualan, pelbagai peralatan hiburan seperti pembesar suara, mikrofon, dekoder, televisyen dan enam botol arak pelbagai jenama.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan mula beroperasi dari pukul 7 malam hingga 7 pagi setiap hari, dengan kebanyakan pelanggan merupakan warga Myanmar.
“Difahamkan, GRO di premis itu menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Bos’,” ujarnya.
Susulan itu, kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 55(B)(1), 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1953 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.-KOSMO! ONLINE